Wau adalah sejenis layang-layang tradisional yang sangat
popular di pantai timur Malaysia, terutamanya negeri Kelantan. Kaum yang
mempopularkan permainan wau ialah kaum Melayu dan Siam yang ramai tinggal di
negeri tersebut. Wau juga masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan
seperti Terengganu, Kedah dan Perlis.
Ianya dipanggil wau kerana bentuknya seakan-akan huruf ‘wau’
Jawi. Wau yang direka dengan pelbagai reka bentuk, serta warna dan corak yang
cerah, bermotifkan tumbuhan dan haiwan sememangnya indah dan menawan hati. Berbagai
jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan,
wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau
barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu
seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan
memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin
dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di
udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang
berwarna-warni itu.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan
negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti
Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri
Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama
pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau. Selain
itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang
diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur
tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.
Wau Bulan juga boleh didapati daripada Seni Pertukangan iaitu
Filigree. Seni pertukangan perak adalah salah satu cabang kesenian orang-orang
Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. Kemahiran pertukangan logam
orang-orang dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun
Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti
emas dan tembaga. Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak
filigree atau turut dikenali dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak
filigree mempunyai keindahannya yang tersendiri.
Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam
hiasan pada penciptaan suatu motif yang terselindung disebaliknya mengikut daya
imiginasi jiwa pencipta itu sendiri. Kebanyakan barangan filigree memaparkan
peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita. Pelbagai motif
terdapat dalam pertukangan filigree ini antaranya motif bunga-bungaan dan motif
wau. Tarian Siti Wau Bulan Asal-usul tarian ini adalah dari Pantai Timur iaitu
Kelantan dan Terengganu. Tarian ini menggambarkan wau bulan yang sedang
diterbangkan dengan penuh keriangan yang juga merupakan salah satu acara
tradisi semasa musim menuai padi. Tarian ini ditarikan oleh penari lelaki dan
perempuan dengan diiringi oleh alat muzik tradisional seperti gendang dan
seruling. Bahagian Perincian Wau pula terdapat lima komponen asas bagi sebuah
wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap
wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
 |
Wau Bulan |